“Sebenarnya Amirkhan membela ular tedung selar untuk mendapatkan batu permatanya, tuan,” Inspektor Amirullah Ali tertawa mendengar penjelasan Theeban tadi.
“Kalau macam itu, bolehlah saya letak jawatan ini kemudian membuka ladang ternakan ular nanti,” balasnya sambil ketawa terbahak-bahak.
“Bukan semua ular mempunyai batu permata itu, tuan. Ular itu lain jenisnya,” kata Theeban lagi. Kali ini, dia benar-benar rasa berang apabila sarjan dan koperal yang berdiri di sebelah Inspektor Amirullah turut tergelak setelah mendengar penjelasannya.
Theeban sudah lama meluangkan masa bersama pegawai-pegawai polis sejak dia datang ke Kuala Lumpur. Dia tahu akan cara bagaimana mereka menjalankan penyiasatan. Dia pernah melihat dengan matanya sendiri apabila pihak polis mula berkeras ketika menjalankan penyiasatan. Jika suspek memberitahu segala yang diperlukan oleh pihak polis, maka mudahlah nanti untuk keluar dengan diikat jamin. Pihak polis yang berpengalaman dan terlatih dapat mengesan dengan mudah jika suspek berbohong atau menokok tambah dalam sesi soal siasat. Theeban sedar bahawa dia akan mengalami kesukaran untuk dilepaskan sekiranya dia berbuat demikian. Maka, dia terus memberitahu perkara benar setakat yang dia tahu.
Apabila Theeban mendampingi Amirkhan buat kali pertama untuk mendapatkan pertolongan, dia hanya mampu mendengar suaranya. Kawasan yang dibuat pertunjukan itu terlalu sesak dengan orang ramai. Di antara celah-celah orang, Theeban dapat melihat bakul-bakul rotan yang tersusun di lantai. Dia sempat mendengar suara Amirkhan yang sedang bercakap dalam bahasa rojak.
“Tuan-tuan dan puan-puan, dengar baik-baik. Ular ini umpama Tuhan. Jangan kamu berani mengecamnya; jangan kamu berani mencederakannya; jangan kamu berani membunuhnya. Tuan dan puan sekalian, jika kalian dipagut ular dengan sebelah taringnya, maka kesannya setakat kulit sahaja. Jika terkena sepasang taring, maka kesannya sehingga otot pula. Jika terkena tiga taringnya pula, maka kesannya akan mendalam sehingga tulang, manakala jika terkena empat batang taringnya, otak kamu umpama sudah dicium olehnya. Kalian hanya perlu menunggu masa supaya ditanam ke dalam kubur.”
Orang ramai tertawa mendengar telatahnya.
Setelah menyalakan sebatang rokok, Theeban meninggikan tumitnya untuk melihat apa yang ada di sana. Dia dapat melihat botol-botol berlainan saiz yang tersusun di sana. “Sepuluh ringgit… sepuluh ringgit…” ada pula seorang budak kecil yang melaung sambil menatang dulang yang berisi botol-botol kecil itu. Ada antara yang berdiri di sana meletakkan sepuluh ringgit dalam dulang lalu mengambil botol yang dijualnya. Kemudian, budak kecil itu memasukkan beberapa keping duit kertas yang diterimanya ke dalam sebuah peti kayu yang berada di sebelah Amirkhan.
“Wahai hadirin sekalian, mesti ada yang memberi petua yang berbeza-beza mengikut andaian masing-masing. Ada pula yang pernah memberi petua bahawa gunakan kunyit untuk merawat orang yang dipagut ular. Adakah bisa ular itu sama seperti lelaki yang tergoda dengan wangian kunyit itu?”
Bunyi gelak ketawa terdengar lagi. Seorang lelaki Melayu tua sahaja yang berdiri sambil terpinga-pinga; tidak faham apa yang dikatakan oleh Amirkhan tadi.
“Sudahlah depan rumah kamu tidak ada tanah untuk menanam apa-apa pokok. Dari mana lagi kamu hendak cari batang pokok pisang untuk mendapatkan air perahan batangnya? Ataupun di manakah kamu hendak mencari buah kastor untuk diberi bersama-sama lada sulah? Bukankah orang yang dipagut ular akan mati terlebih dahulu sementara kamu masih mencari penawar? Lebih baik saudara-saudari sedar sekarang… Ubat yang saya jual ini mampu menjadi penawar kepada segala jenis racun dan bisa. Dengan adanya ubat ini, tidak perlu risau lagi sama ada dipagut ular ataupun disengat tebuan. Lebih baik beli sekarang untuk menjamin nyawa orang keluarga kamu.”
Sebaik sahaja Amirkhan habis bercakap, budak kecil itu berjalan lagi sambil membawa dulang yang berisi botol-botol minyak. Dia juga menterjemahkan penjelasan Amirkhan tadi kepada pelanggan-pelanggan berbangsa Melayu. Kali ini, ramai lagi yang membeli botol minyak tersebut. Walaupun setelah membeli minyak, orang ramai masih mengeremuni tempat itu seolah-olah menantikan sesuatu. Theeban juga berasa hairan melihat keadaan tersebut dan teringin untuk mengetahui sebabnya. Sebaik sahaja budak kecil itu membawa sebuah bakul rotan yang agak besar lalu meletakkannya di hadapan Amirkhan, orang ramai mula berasak-asak menghampirinya dengan suara hingar-bingar.
“Bukan mudah untuk mendapatkan bisa ini. Bisa daripada empat jenis ular dicampurkan sebelum diberi kepada kuda. Kemudian, barulah darahnya akan diambil untuk diasingkan bisanya. Rahsianya hanya diketahui oleh pendeta yang mahir. Yang rasa dirinya bijak, tampillah ke hadapan untuk membelinya; Yang rasa dirinya masih kabur, baik undur diri. Entah bila saya akan datang ke sini lagi,” kata lagi Amirkhan sambil melihat ke dalam sebuah bakul rotan melalui lubang kecil yang terdapat padanya.
“Wahai tedung selar! Adakah kamu berkenan untuk keluar sekarang?” kata Amirkhan seolah-olah bertanya kepada ular yang ada di dalam bakul itu. “Ular tedung selar saya kelihatan agak berang sekarang. Jika dikeluarkan daripada bakul, mungkin ada antara kamu yang akan dipagut olehnya,” kata Amirkhan selepas merenung bakul itu seketika. Apabila orang yang berdiri di sisinya telah menganjak sedua langkah ke belakang dengan perasaan gerun, barulah Theeban dapat melihat wajah Amirkhan dengan jelas. Orangnya berbadan sasa dan berkulit hitam. Baju batik yang dipakainya itu beralun-alun ditiup angin. Hidung yang besar, misai yang tebal dan kening yang lebat menggambarkan mukanya sebagai seorang yang kasar. Dia memakai kopiah di kepalanya. Banyak juga cincin batu yang berwarna-warni disarung pada jari-jemarinya. Sebidang gegantung yang bersaiz dua kaki lebar dan empat kaki panjang terdapat di sebelahnya. Banyak gambar berkaitan kesan pagutan ular dan serangga beracun serta ramuan minyak yang dijualnya itu tercetak pada gegantung itu.
Theeban teringin untuk melihat ular yang ada di dalam bakul itu. Bakul itu dianyam daripada batang buluh yang kuat. Hanya lubang bersaiz duit syiling 50 sen yang terdapat pada bakul itu.
“Tuan dan puan sekalian, dengarlah baik-baik. Minyak yang saya jual ini mampu mengatasi sebarang jenis bisa atau racun. Jika ada yang sanggup terima pagutan, tampillah ke hadapan. Saya akan membuka bakul jika ada yang sanggup. Yang tidak berani, boleh menganjak jauh dari sini.”
Sebaik sahaja budak kecil itu menterjemahkan maksudnya, orang yang berkumpul di situ menganjak sedua langkah ke belakang lagi. Ruang di sekeliling Amirkhan menjadi lapang; kini Theeban dapat melihat muka Amirkhan dengan senang. “Hap…hahhh…” jerit Amirkhan lalu mengambil bakul ular itu. Ada antara yang sedang menyaksikan itu bertepuk tangan. Botol-botol minyak yang dibawa oleh budak kecil juga laris dijual. Tidak ada sesiapa yang berani tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran Amirkhan.
“Bertenanglah kamu, tedung selar. Nanti saya bagi kamu katak untuk dimakan. Usah kamu bergarang, nanti saya bagi kamu burung pipit untuk dimakan. Tidak perlu kamu menegangkan otot, nanti saya bagi kamu tikus untuk dimakan. Tidak ada orang yang berani terima pagutan kamu; Begitu juga tidak ada ubat yang sehebat minyak ini,” sambil bernyanyi, Amirkhan mengikat bakul ularnya dengan sehelai kain putih. Sementara ada orang yang mula bersurai dari sana, budak kecil itu pula sibuk menjual botol minyaknya.
Walaupun ramai yang sudah beredar dari sana, masih ada beberapa orang yang mendekati Amirkhan untuk mendapatkan penjelasan. Kebanyakan daripada mereka orang Melayu sebenarnya. Theeban menyalakan sebatang rokok lagi sambil mendengar penjelasan Amirkhan. Melalui penjelasannya, Theeban mendapat tahu bahawa Amirkhan menjual juga tangkal-tangkal yang diperbuat daripada bisa, taring dan kulit ular untuk mengatasi masalah-masalah yang berlaku akibat ular ataupun mengalami mimpi buruk melibatkan ular. Apabila ada yang tampil untuk membeli tangkal-tangkal tersebut, maka Amirkhan memberi penjelasan tambahan kepada mereka sebelum menyerahkannya. Ada juga antara mereka yang sudi mendengar petua daripada Amirkhan untuk mengatasi masalah rumah tangga mereka.
Theeban mengamati gelagat Amirkhan itu dengan khusyuk. Dia berasa hairan apabila memikirkan daripada siapa Amirkhan menuntut petua-petua tersebut. Theeban meneliti teknik yang digunakan oleh Amirkhan untuk mengendalikan pelanggan yang mendampinginya. Mula-mula, dia membenarkan pelanggan untuk menceritakan masalah yang dialami secara panjang lebar. Setelah mengenal pasti kelemahan yang terdapat pada pelanggan itu, barulah Amirkhan mula menyatakan petuanya sehingga mereka benar-benar menaruh harapan padanya lalu membeli tangkal yang dijualnya itu tanpa banyak bersoal. Ramai daripada pelanggan yang datang dengan mudarat telah pulang dengan muka dan hati yang tenang. Theeban berasa agak segan untuk menyatakan masalah yang dialaminya kepada Amirkhan di khalayak ramai. Setelah semua pelanggannya bersurai, Amirkhan bangun lalu menghampiri kereta ‘Datsun’ lamanya itu untuk menyusun bakul-bakulnya. Ketika itu barulah Theeban menghampiri Amirkhan untuk memulakan perbualan. “Ubat atau minyak perlu dibeli di sana, dik,” kata Amirkhan kepada Theeban yang menghampirinya sambil menuding jari ke arah budak kecil itu.
Theeban meninggalkan tempat itu tanpa berkata apa-apa kepadanya. Selepas itu, dia mula mengekori Amirkhan dengan pergi ke tapak jualannya di kawasan-kawasan tertentu pada setiap hari Ahad. Lazimnya, Amirkhan jarang pergi ke kawasan yang sama secara berulangan. Walaupun banyak kawasan yang dikunjungi, namun ular tedung selar yang ada di dalam bakul buluh itu tidak pernah dikeluarkan olehnya. Namun, gaya pertuturannya tetap mempesonakan orang ramai yang datang mendekatinya, termasuk Theeban. Lebih-lebih lagi, Theeban meminati kelicikan Amirkhan yang mampu menerangkan petua berdasarkan kelemahan yang terdapat pada orang yang datang mendengar petua daripadanya. Sekali lagi, Theeban pergi mendekatinya apabila kawasan itu menjadi lengang. Ketika itu, Amirkhan sibuk mengemas barang-barangnya sambil menghisap cerut.
“Saya kurang sihat,” kata Theeban kepada Amirkhan.
“Lihat pada mata kamu pun sudah boleh tahu. Apa masalahnya?” tanya Amirkhan. Memandangkan suara Amirkhan itu agak lantang, Theeban berasa segan untuk menyatakan masalah kepadanya. Takut-takut nanti dia memberitahu petua dengan suara yang lantang juga. “Cepatlah, dik. Saya sudah mahu balik…” kata lagi Amirkhan sambil menutup but keretanya. Suaranya masih kedengaran lantang.
“Saya mahu hempedu ular tedung,” kata Theeban kepada Amirkhan sambil teragak-agak. Dia sendiri berasa hairan apabila memikirkan bagaimana dia boleh menyatakan hasratnya dengan begitu berani.
Amirkhan merenung muka Theeban dengan tajam sejenak. “Dik, kamu sedar atau tidak apa yang kamu tanya tadi?” tanyanya kepada Theeban. Reaksi muka Amirkhan juga jelas berubah.
“Pengubat tradisional yang saya kenal itulah yang memberitahu tentangnya,” balas Theeban. Sebenarnya Theeban juga agak tegas orangnya. Namun, masalah yang dialaminya sejak enam bulan yang lepas membuatkan dirinya lemah dari segi fizikal dan mental.
“Dik, hempedu itu bukan seumpama najis yang boleh dipungut dengan mudah. Kamu tahu atau tidak ular itu perlu dibunuh jika hendak memperoleh hempedunya?” kata Amirkhan.
Theeban tahu sebenarnya apa yang dikatakan oleh Amirkhan itu. Namun, dia terus mendiamkan diri. Sebaik sahaja budak kecil itu pulang setelah menjual minyak, mereka berdua beredar sahaja dari situ dengan menaiki kereta.
Pada malam tersebut, Amirkhan terjaga daripada tidurnya apabila terdengar bunyi ketukan pintu. Apabila membuka pintu, dia terkejut melihat Theeban yang berdiri di halaman rumahnya.
“Eh, kamu… Bagimana kamu boleh ke sini? Apa yang kamu nak?” tanya Amirkhan dengan suara yang agak cemas setelah terkejut melihat Theeban di muka pintu rumahnya.
Theeban membalas sambil menundukkan kepalanya. “Tidak ada orang lain yang boleh menolong saya melainkan tuan seorang. Saya telah dinasihatkan oleh seorang pengubat tradisional agar menelan hempedu ular. Sudah dua bulan puas saya mencarinya di merata-rata tempat. Saya gagal untuk mendapatkannya,” Amirkhan sempat memerhatikan kedua-dua tangan Theeban menggigil ketika menyatakan masalahnya.
“Isyyk… Macamlah terdapat papan tanda yang mengatakan saya menjual hempedu ular di sini. Kamu mencari orang yang salah, dik… Dah, pergi dari sini,” kata Amirkhan dengan suara yang garau. Theeban hanya merenung matanya dengan tajam. Lagipun, dia sudah biasa berbuat sedemikian sebelum ini.
“Saya tahu bahawa tuan akan pergi ke India minggu hadapan. Tuan pasti akan melepaskan ular-ular yang dibela itu di hutan nanti, bukan? Lebih baik saya membelinya,” kata Theeban dengan tenang.
“Oh, kamu menjejak saya rupanya! Kamu sudah menyiasat tentang segala rancangan saya. Saya tidak akan membantu kamu. Berambus dari sini!” kata Amirkhan dengan suara yang agak keras kali ini. Memang benar sangkaannya. Theeban telah menjejak gerak-geri Amirkhan pada setiap hari Ahad sambil mengekorinya. Selain itu, dia juga telah memperoleh maklumat selebihnya daripada pekerja-pekerja restoran yang pernah bekerja bersama-sama Amirkhan sebelum itu.
“Sebenarnya, tuan harus memiliki lesen untuk membela ular di negara ini. Tuan tidak memilikinya, bukan?” kata Theeban.
“Apa … Apa boleh buat? Jika tidak ada lesen, adakah saya akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati?” suaranya sudah tidak sekeras seperti sebentar tadi. Mukanya mula berpeluh-peluh.
“Sebenarnya tuan perlukan lesen untuk menjual ubat tradisional juga. Lebih-lebih lagi, tuan sendiri yang mengaku bahawa tuan mencampurkan bisa ular dalam tangkal dan minyak yang dijual itu,” kali ini suara Theeban benar-benar berbunyi dengan nada mengugut.
“Bukankah kamu sendiri mengaku bahawa saya akan pulang ke India minggu hadapan? Jadi buat apa saya perlu risau? Adakah kamu mempunyai apa-apa bukti untuk menuduh saya? Adakah sesiapa yang membeli minyak daripada saya itu mengadu kepada kamu? Adakah sesiapa yang sudah meninggal dunia setelah menggunakan ubat yang saya jual itu? Jawapannya, tidak. Maka, buat apa saya perlu gentar terhadap kamu…” katanya sambil hendak menutup pintu rumahnya. Amirkhan sudah tidak berani lagi untuk merenung mata Theeban.
“Nama tuan yang sebenar ialah Amirthalingam. Tuan datang ke negara ini di bawah visa pekerjaan,” kata lagi Theeban sambil merenung tepat ke arah matanya. Amirkhan terkejut lalu duduk merebah di atas lantai. Nafasnya menjadi kencang setelah Theeban membongkarkan rahsianya.
“Adakah tuan tahu apa hukumannya jika tuan dibuktikan bersalah?”
“Dik, masuk ke dalam dahulu. Kita bincang nanti,” kata Amirkhan dengan suara yang agak rendah.
Sebaik sahaja masuk ke dalam, Theeban berasa mual dengan bau ubat yang menyelebungi ruang rumah itu. Tidak ada orang lain yang tinggal di rumah papan itu kecuali Amirkhan. Memandangkan rumah itu tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik, sepasang pelita minyak tanah telah dinyalakan di sudut kiri dan kanan di ruang tamu rumah itu. Sebingkai gambar digantungkan pada dinding ruang tamu tersebut; kemungkinan besar gambar mendiang ayah Amirkhan. Hanya misai yang tebal pada mukanya dan pedang yang dipegang pada tangannya dapat dilihat dengan jelas; yang bakinya sudah pudar warna.
“Saya sangka budak kecil yang jual minyak itu anak tuan.”
“Saya tidak berkahwin,” balas Amirkhan.
Tidak ada kerusi mahupun sofa di dalam rumahnya untuk duduk. Hanya sebuah katil bujang yang diletakkan di ruang tamu rumah tersebut. “Mari sini,” pinta Amirkhan kepada Theeban sebaik sahaja masuk ke dalam sebuah bilik kecil yang terdapat di sebelah kanan ruang tamu. Theeban menurut sahaja kehendaknya walaupun teragak-agak. Lantai bilik itu diperbuat daripada kayu. Sambil berhati-hati, Theeban melangkah masuk ke dalam bilik itu. Theeban dapat lihat beberapa gambar dewa-dewi yang tersusun di sana.
“Saya seorang peminat setia pelakon popular India, Rajinikanth. Jadi, apabila wakil agensi pekerjaan bertanyakan nama, saya berbohong kepada mereka bahawa nama saya Amirkhanth. Dia pula menulis nama saya sebagai Amirkhan. Saya pun membiarkannya. Orang seperti kami hanya boleh mendapat kerja di negara ini dengan mudah jika memiliki nama Muslim. Setelah tiba di sini, saya bekerja di sebuah restoran selama beberapa bulan. Selepas bertengkar dengan pemilik, saya tinggalkan tempat itu. Buat apa perlu risau untuk mencari pedapatan sedangkan saya ada kemahiran sendiri,” kata Amirkhan sambil menyalakan pelita di hadapan gambar dewa-dewi itu lalu mula memuja. Amirkhan kelihatan tenang sahaja, tidak lagi menunjukkan muka bengisnya.
Seketika kemudian, barulah Theeban sedar bahawa terdapat batu yang diukir dengan gambar dua ekor ular yang sedang mengawan di sebelah gambar dewa-dewi tersebut. Batu yang diukir itu berkilat-kilat setelah terkena pancaran pelita yang sedang bernyala di situ. Mungkin batu itu disapu dengan minyak supaya kelihatan lebih berkilat. Banyak daun dan akar pokok herba disimpan di sebelah kanan batu tersebut. “Jangan kamu sangka bahawa saya sudah gentar setelah kamu mengetahui rahsia saya,” kata Amirkhan setelah habis memuja.
“Tidak, tuan. Saya tidak bersangka begitu,” balas Theeban.
“Saya sebenarnya berasal daripada keluarga bangsawan yang menjadi tuan tanah secara turun-temurun. Keturunan kami digelar sebagai ‘Jameen dari Kadamboor’. Saya tidak mudah gentar dalam apa-apa situasi,” kata Amirkhan sambil mengusap misainya yang tebal itu. Sebelum ini, Theeban pernah mendengar tentang keturunan Jameen dalam cerita filem-filem Tamil sahaja.
“Mengapakah kamu mencari hempedu ular?” tanya Amirkhan kepadanya sambil membakar ketul-ketul kemanyan. Sebenarnya, Amirkhan membakar kemanyan kerana tidak tahan dengan bau busuk kaki Theeban. Mungkin dia tidak membuka kasutnya sejak pagi tadi.
Theeban menundukkan kepalanya tanpa berkata apa-apa. Dia berasa malu apabila bersangka bahawa Amirkhan sudah meneka masalah yang dialaminya.
“Kamu mengalami masalah kebatinan, bukan?” tanya Amirkhan sambil berketawa. “Tidakkah kamu mencuba kaedah perubatan lain?”
“Saya sudah mencuba dengan pelbagai kaedah. Mahupun perubatan tradisional ataupun perubatan moden. Semuanya meninggalkan kesan sampingan sahaja, namun tidak menyelesaikan masalah yang saya hadapi.”
“Perubatan homeopathi juga tidak berkesan?”
“Saya sudah mencubanya dengan dua pengubat yang berbeza. Mereka memberi pelbagai serbuk dan pati untuk dimakan. Ubat-ubat tersebut perlu dimakan dengan susu ataupun minyak sapi. Ada kala dapat menyediakannya, ada kala tidak dapat. Agak sukar untuk mematuhi petua mereka dengan sepenuhnya.”
“Bagaimana dengan ibu bapa kamu?”
“Mereka berdua tinggal di Kedah. Keluarga kami dikekang dengan masalah hutang. Maka, saya telah mengikuti kawan saya ke sini untuk mencari pekerjaan. Mula-mula saya tinggal di sebuah bilik kecil yang dikongsi dengan empat orang. Dulu saya bekerja di Petaling Street. Sebelah pagi, saya bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya. Selepas pukul lima petang…”
“Teruskan sahaja.”
“Sebelah malam, saya menjaga beberapa pusat urut di sana.”
“Pusat pelacuran?” apabila Amirkhan bertanya lagi, Theeban hanya menganggukkan kepalanya.
“Pusat-pusat tersebut perlu dijaga dari pukul enam petang hinggalah pukul dua tengah malam. Sekiranya ada lelaki yang membuat kecoh atau berhuru-hara, maka saya perlu menghalau mereka. Pada mulanya saya berasa gentar untuk melakukannya. Lama-kelamaan, pelanggan yang datang ke sana mula berasa takut melihat saya. Mereka menganggap bahawa ada ramai lagi penjaga seperti saya yang mengawal kawasan itu. Ketakutan mereka menjadi kekuatan kepada saya. Kemudian saya telah mengupah beberapa orang pemuda lagi untuk membantu kerja yang saya lakukan itu. Dalam tempoh dua bulan sahaja, saya telah menguasai semua pusat pelacuran yang beroperasi di kawasan itu. Kemudian, saya tidak lagi pergi bekerja di pasar raya sebelah waktu pagi. Saya juga ditawarkan dengan bilik untuk tinggal berdekatan di kawasan pusat pelacuran,” kata Theeban secara panjang lebar dengan nada yang bangga.
“Teruskan.”
“Bapa-bapa ayam yang menjalankan pusat pelacuran di sana telah menawarkan saya dengan pendapatan yang lumayan. Kemudian, mereka telah mengizinkan saya untuk tidur dengan pelacur yang saya suka.”
“Wah, untungnya bekerja seperti kamu! Sambung lagi.”
“Sebenarnya orang yang dilantik sebagai penjaga hanya boleh berada di kawasan bawah. Penjaga tidak dibenarkan naik ke tingkat atas untuk berjumpa atau bercakap dengan gadis-gadis yang melacur. Hanya saya seorang sahaja yang diizinkan oleh pemilik-pemilik pusat di sana. Maka, budak-budak yang bekerja dengan saya asyik mengeluh bahawa bertuahnya saya bekerja di situ. Namun, duit menjadi sasaran utama saya ketika itu supaya dapat mengatasi masalah kewangan yang dialami oleh keluarga saya di kampung. Pada cuti Tahun Baharu Cina yang lepas, kawasan pelacuran itu menjadi lengang. Entah semua pulang ke mana, tidak ada ramai pelanggan yang datang. Memandangkan tidak ada pelanggan yang datang dan terlalu bosan, saya telah berbual-bual dengan seorang kakak di sana.”
“Kakak? Adakah kakak kandung yang dilahirkan oleh ibu kamu?”
“Eh, bukanlah…”
“Pelacur juga, bukan? Jadi tidak perlu menggelarnya sebagai kakak. Teruskan.”
“Dengan dialah saya melakukan seks buat kali pertama.”
“Aduhai, bagaimanalah kamu boleh memanggilnya dengan gelaran kakak sedangkan kamu sudah bersetubuh dengannya?”
Cara dia mengejeknya itu menyukarkan Theeban untuk terus berbual ataupun untuk menyatakan masalah yang dialaminya. Namun, dia terpaksa bersabar sekiranya hendak tahu penyelesaian ke atas masalahnya itu.
“Selepas kali pertama itu, saya sudah mula ketagih dengan keseronokan berseks. Selepas itu, saya mula berseks dengan gadis-gadis lain di sana pada setiap hari. Saya tidak memilih gadis yang sama untuk setiap hari. Pernah dengar cerita orang berkata bahawa, golongan raja dahulu kala berbuat sedemikian dengan gundik-gundik yang tinggal di rumah berhala mereka. Saya juga seumpama raja-raja tersebut. Raja yang menjaga kawasan pusat pelacuran itu. Saya tidak pernah membuat perbandingan ketika hendak memilih perempuan. Ada kala mendapat perempuan yang muda, ada kala mendapat yang sudah tua. Semuanya sama sahaja kepada saya. Saya tidak pernah hiraukan wajah ataupun paras rupa mereka; Tidak pernah terpikat hati dengan mana-mana bentuk badan mereka. Namun, saya berasa tergian untuk melakukan seks secara berulangan hari demi hari. Ketagihan itu seolah-olah memberi kuasa kepada saya. Kuasa yang membolehkan saya melakukan seks dengan mana-mana pelacur dari kawasan tersebut. Kuasa yang meyakinkan saya bahawa kawasan itu tertakluk kepada saya,” kata lagi Theeban sambil mengusap rambutnya yang dipotong pendek.
“Wah, bertuah sungguh kamu dan ‘adik’ kamu itu…”
“Seperti biasa, hari itu saya memilih seorang gadis dari Filipina untuk melakukan seks. Permintaan terhadap gadis Filipina itu memang tidak pernah berkurang sejak hari pertama dia datang ke pusat itu. Dia sentiasa sibuk dengan pelanggan yang sudah menempahnya terlebih awal. Secara kebetulan, hari itu pintu biliknya terbuka ketika saya naik ke atas untuk memilih gadis. Apabila saya masuk ke dalam biliknya, dia merayu bahawa dia tidak mahu bekerja pada hari tersebut kerana badannya kurang sihat. Pada awal saya sangka dia sengaja berbohong semata-mata untuk mengelakkan dirinya ‘digunakan’ tanpa dibayar. Untunglah bagi dia jika melayan pelanggan yang sanggup bayar berbanding dengan melayan saya secara percuma. Saya tetap berdegil dengannya. Semasa mula bersetubuh, barulah saya sedar bahawa dia benar-benar kurang sihat kerana badannya begitu panas. Badannya tidak berdaya langsung untuk melayan kehendak saya. Namun saya tidak melepaskan peluang itu untuk melayan nafsu saya. Sedangkan saya sibuk bersetubuh, tiba-tiba saya berasa bahawa ada cecair yang melekit di bahagian zakar saya. Sedangkan gadis itu cuba menolak saya sambil berkata sesuatu, saya pula mula menghayunkan badan saya dengan lebih agresif. Saya telah menarik rambutnya dari arah belakang dan tidak membiarkannya berkata-kata lagi. Cecair yang melekit itu membuatkan saya bertindak lebih agresif terhadapnya. Tiba-tiba saya dapat menghidu sesuatu bau yang amat busuk. Saya lantas menolaknya ke tepi lalu memasang lampu bilik itu. Saya terkejut apabila melihat tilam di atas katil di situ dipenuhi dengan cirit-biritnya. Najisnya telah terpercik pada bahagian perut dan melimpah masuk ke dalam pusat perut saya. Gadis itu pula duduk meringkuk di hujung katilnya sambil menangis teresak-esak. Kemudian dia memekik sambil melihat ke arah saya; memaki hamun dengan kata-kata kesat,” kata Theeban lalu menundukkan kepalanya sebagai tanda tidak tahan rasa malu.
Theeban berasa kurang selesa apabila melihat Amirkhan yang terus mendiamkan diri setelah mendengar penjelasannya. Theeban bersangka bahawa mungkin Amirkhan memandangnya dengan perasaan hina dan jijik atas perbuatannya terhadap gadis Filipina itu. Selepas seketika, dia memberanikan diri untuk memandang muka Amirkhan untuk tahu sama ada perlu meneruskan ceritanya ataupun tidak. Amirkhan hanya menghayunkan tangannya sebagai tanda kepada Theeban untuk meneruskan ceritanya.
“Sejak berlakunya peristiwa tersebut, saya tidak jemu untuk membersihkan bahagian perut saya ketika bermandi setiap hari. Sebaik sahaja peristiwa itu terlintas dalam fikiran saya, maka saya akan berlari ke tandas untuk mencuci perut dan pusat perut saya. Namun, bau busuk itu masih dapat saya hidu; kelekitan daripada cirit-birit itu masih dapat saya rasa di bahagian perut saya. Sejak peristiwa itu, saya sudah tidak lagi berminat untuk melakukan hubungan seks dengan mana-mana gadis. Saya sudah tidak berminat lagi untuk naik ke tingkat atas. Saya bagai tidak berdaya untuk melakukannya lagi.”
“Masalah yang kamu alami itu akan beransur pulih pada masa yang akan datang. Usahlah kamu terburu-buru. Nanti saya akan beri kamu tangkal yang dipuja. Ikat di pergelangan tangan kamu. Masalah kamu itu akan beransur pulih,” kata Amirkhan dengan separuh mengantuk. Sebenarnya dia berasa amat letih pada hari itu kerana terpaksa melaung dengan suara yang lantang ketika menarik perhatian pelanggan di tapak jualan pagi tadi. Mulutnya hendak menguap, namun dia kawal dirinya kerana perbuatannya itu mungkin boleh menyinggung perasaan Theeban yang datang mencarinya.
“Bukan itu masalahnya sekarang. Selepas sebulan lebih daripada peristiwa itu, saya mengalami ketegangan pada suatu malam. Suhu badan saya makin bertambah, begitu juga dengan nafsu. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk melancap sendiri. Ketika itulah saya sedar bahawa zakar saya tidak mahu menegang. Saya sudah mencubanya beberapa kali, namun gagal juga. Saya segera mencari kakak yang saya sebutkan tadi untuk memberitahu masalah saya. Dia menyindir bahawa saya telah mengalami masalah mati pucuk. Kemudian, saya telah pergi ke pelbagai klinik untuk mengubati masalah saya, namun semua usaha tidak membuahkan hasil. Ubat-ubat tradisional juga telah saya cuba, keputusannya masih sama. Akhirnya, barulah saya mencari pakar perubatan alternatif iaitu Doktor Senthamarai untuk mencari solusi kepada masalah saya.”
“Adakah doktor itu yang menyuruh kamu agar mecari saya?”
“Doktor itu memberitahu tentang khasiat hempedu ular. Menurut beliau, air mani manusia mengandungi sperma yang sama bentuk seperti ular. Dia berkata bahawa sperma yang terdapat dalam air mani saya sudah membeku agaknya. Maka untuk mengubati masalah tersebut, saya dicadangkan agar menelan hempedu ular tanpa terkena pada gigi dan lidah. Namun, beliau juga memberitahu bahawa bukan mudah untuk mendapatkan hempedu ular. Sekiranya mendapat ular yang kena tangkap ataupun ular yang dilanggar kenderaan, beliau meminta saya membawa kepadanya. Sudah dua bulan masa telah berlalu sejak itu. Namun, memang payah untuk mendapatkan ular. Ramai juga orang yang saya dampingi untuk mendapatkan seekor ular. Ada antara mereka yang mengejek saya setelah mengetahui tujuan saya mencari hempedu ular. Ada pula yang menasihati saya supaya minum bir hitam ‘Guinness Stout’ yang dicampur telur ayam kampung. Petua itu juga sudah saya cubakan. Namun, tidak ada hasilnya. Ketika itulah saya terserempak dengan tuan. Setelah mengetahui bahawa ular menjadi remedi utama kepada sumber pendapatan tuan, maka saya tidak berani datang untuk bertanya. Namun, saya terus mengekori tuan dengan harapan bahawa saya akan mendapat apa-apa jalan penyelesaian. Barulah saya mendapat tahu bahawa tuan sudah hendak pulang ke tanah air tidak lama lagi. Sebab itulah saya datang ke sini dengan sedikit harapan,” Theeban menghembus nafas panjang setelah habis menceritakan masalah dan tujuan dia mencari Amirkhan.
Sebaik sahaja habis mendengar cerita Theeban, Amirkhan mula berkumat-kamit seolah-olah melafazkan mantera sambil memejam mata dan menekan kening dengan jari-jarinya. Theeban hanya melihat gelagatnya dengan takjub.
“Saya akan cadangkan petua lain. Adakah kamu sanggup buat?” tanya Amirkhan kepada Theeban setelah membuka matanya.
“Saya sudah berasa sengsara dengan masalah ini. Badan saya sudah tidak ada di bawah kawalan saya lagi. Ketegangan yang saya alami ini membuatkan badan dan minda saya menjadi terlalu letih. Ketegangan ini membangkitkan minda saya agar bertindak sebagai binatang; membangkitkan minda saya untuk mengamuk, bertindak secara ganas. Saya hanya dapat tidur apabila badan benar-benar menjadi letih. Tolong selamatkan saya dan juga orang di sekeliling saya daripada masalah ini,” kata Theeban dengan suara yang agak pilu, seolah-olah hendak menangis.
Amirkhan sudah dapat memahami masalah sebenar yang dialami oleh Theeban dengan sepenuhnya. “Jika saya menyelesaikan masalah kamu, berapakah jumlah yang sanggup kamu bayar?” tanya Amirkhan selepas berfikir seketika.
“Berapakah jumlah yang tuan nak?”
“Sepuluh ribu ringgit.”
“Aduhai, banyaknya jumlah itu! Di manakah saya boleh mencari jumlah wang sebanyak itu?”
“Kalau tidak mampu, lantaklah kamu dengan masalah ‘adik’ kamu itu.”
“Sepuluh ribu ringgit betul-betul banyak untuk masalah ini.”
Amirkhan ketawa dengan terbahak-bahak. “Hanya ada lagi tiga malam untuk malam bulan baharu. Keesokan paginya, saya akan bertolak ke negara saya. Jika kamu datang pada pagi hari itu, saya akan memberi hempedu ular kepada kamu. Sebenarnya sepuluh ribu ringgit itu bukan harga untuk hempedu ular, malah harga untuk dosa yang kamu buat itu.”
“Saya tidak sanggup tunggu tiga hari lagi. Lebih baik saya membunuh ular milik tuan itu sekarang untuk mendapatkan hempedunya. Biar saya yang tanggung dosanya sekaligus,” kata Theeban lalu mengeluarkan sebilah pisau yang disisipkan daripada seluarnya.
“Cis, celaka sungguh kamu!” pekik Amirkhan lantas bangun. Apabila Theeban menghunuskan pisau ke arah lehernya, Amirkhan terkaku buat seketika; nafasnya menjadi kencang; dia menatap mata Theeban dengan tajam.
“Saya sanggup mengambilnya walaupun tuan tidak mengizinkan,” kata Theeban kepada Amirkhan. Mata Theeban tidak kelihatan marah atau cemas, malah hanya dipenuhi kekecewaan dan kepiluan. Dia benar-benar bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan hempedu ular yang dicarinya itu.
Mereka berdua tidak berbicara kata buat seketika. Suasana di situ dipenuhi dengan kesunyian. “Saya cuma mempunyai seekor ular tedung sahaja,” kata Amirkhan setelah mengambil keputusan untuk memecahkan kesunyian tersebut. Theeban mengalihkan pisau yang dihulurkannya daripada leher Amirkhan lalu melihat mukanya dengan penuh keraguan.
“Tuan berbohong.”
“Sumpah saya tidak berbohong. Sumpah atas keturunan Jameen dari Kadamboor.”
“Kalau begitu, saya akan membunuh ular itu untuk mendapatkan hempedunya.”
“Ha…ha…ha… Ular itu bukan jenis yang boleh dibunuh dengan mudah oleh manusia biasa. Ular itu namanya Neelavenu,” kata Amirkhan kepada Theeban setelah berketawa sinis.
“Neelavenu?” Theeban menyebut nama ular itu sekali lagi.
“Hanya satu daripada seratus ribu ular tedung yang akan lahir sebagai Neelavenu. Ular tedung selar yang mampu menyimpan batu permatanya. Raja kepada segala ular tedung selar. Memandangkan namanya berbunyi sebagai Neelavenu, jangan kamu anggap ular ini berwarna biru (Neelam) pada badannya. Badan ular Neelavenu ini berwarna hitam pekat. Lebih pekat hitamnya berbanding dengan warna ular Mamba Hitam. Kamu percaya ataupun tidak, bukan badannya sahaja berwarna hitam, malah darah dan ototnya juga berwarna hitam pekat. Kulitnya yang hitam itu akan berkilat kebiru-biruan pada waktu malam. Hanya warna hitam pada kulit badan dewa-dewi yang mampu berkilat kebiru-biruan seumpama itu. Neelavenu itu seumpama dewa raja ular. Sebenarnya bukan semua spesies ular yang mengetahui dirinya sebagai ular. Namun, Neelavenu mengetahuinya. Ular ini tahu bahawa bisanya mampu bertukar menjadi batu permata. Ular ini tidak akan memagut ataupun mengeluarkan bisanya untuk tempoh selama seratus tahun jika hendak mendapatkan batu permata itu. Ular ini hanya menelan seekor katak sebagai makanannya sekali dalam sebulan. Setelah mengeluarkan batu permata, ular itu akan menjaganya dengan berhati-hati pada setiap masa. Batu permata yang dikeluarkannya akan memancarkan cahaya kebiruan pada waktu malam. Namun, bentuknya akan kelihatan seperti biji benih buah durian belanda yang berwarna hitam. Orang yang tidak tahu tentangnya mesti tidak dapat mengecam batu tersebut. Selepas mengeluarkan batu permata itu, ular Neelavenu yang panjangnya 20 kaki akan mengecut dan susut menjadi panjang sekaki sahaja. Setelah tiba masanya, sayap akan tumbuh pada badannya supaya dapat berterbang ke kayangan. Segala hasratnya akan kecundang jika kamu hendak membunuhnya sekarang.”
Theeban berasa tergamam setelah mendengar penjelasan Amirkhan. Apa yang dikatakan oleh Amirkhan itu berbunyi seperti membuat perancangan untuk membunuh seorang raja. Theeban mula berasa gentar apabila dia memikirkan dosa yang perlu ditanggungnya nanti.
“Saya telah menyeludup ular Neelavenu ini dari negara Thailand tanpa diketahui oleh tok guru saya. Saya terpaksa membelanjakan duit yang banyak di sempadan negara Thailand untuk membawanya masuk ke negara ini. Keluarga tok guru saya telah membela ular Neelavenu ini secara turun-temurun untuk tempoh 1,200 bulan baharu. Apabila saya mencuri daripadanya, ular itu sudah pun melepasi usia tempoh 900 bulan. Malam bulan baharu yang akan menjelang dalam tempoh tiga hari lagi ini merupakan malam bulan baharu kali ke 1,200; detik-detik yang saya menantikan selama ini. Usianya akan genap menjadi 100 tahun sepenuhnya. Tepat pukul 12.00 tengah malam, Neelavenu akan memuntahkan batu pertamanya. Selepas itu, bolehlah saya menyerahkan ular itu kepada kamu. Tanpa batu pertama, ular itu tidak mampu berbuat apa-apa. Jadi, bolehlah kamu membunuhnya untuk mendapatkan hempedunya. Hempedunya bukan calang-calang jenisnya. Selesailah segala masalah kamu nanti.”
Muka Theeban mula berseri setelah mendengar kata-kata akhir Amirkhan itu. Badannya bertambah tegap seolah-olah mendapat tenaga baharu.
“Adakah saya bakal berdepan dengan apa-apa sumpahan?”
Amirkhan tergelak. “Ada pelbagai spesies ular di dunia ini. Namun, mengapakah kita menggelar ular tedung selar ini sebagai raja ular? Spesies ini mempunyai keadilannya yang tersendiri. Sekiranya dua ekor ular tedung sedang berlaga, kedua-duanya tidak akan meninggikan badannya lebih daripada tiga kaki. Kedua-dua ular itu hanya akan cuba untuk menundukkan lawannya, malah tidak akan memagut ataupun mengeluarkan bisanya. Sekiranya ada ular tedung betina yang sarat mengandung, ular itu tidak akan membenarkan ular jantan lain untuk mendekatinya. Ular betina itu lebih rela untuk mati dipagut daripada membenarkan ular lain mengawan dengannya. Ular tedung selar sentiasa taat kepada prinsip hidupnya. Sebab itulah ular ini menjadi raja kepada segala spesies ular. Neelavenu pula menjadi raja kepada segala raja ular. Menang atau tewas, ular itu mesti patuh kepada keadilannya. Sebaik sahaja mengambil batu permata daripadanya, Neelavenu akan menyerah kalah sepenuhnya. Ular itu tidak akan menyerang kamu; tidak akan memberi sumpahan terhadap kamu.”
Tiba-tiba, Theeban berasa simpati terhadap ular Neelavenu tersebut. Hatinya tersentak dan teragak-agak untuk membunuh seekor ular yang begitu taat pada prinsip hidupnya. Theeban berasa Amirkhan telah menyebabkan dirinya mengalami dilema. Terlintas juga dalam fikirannya bahawa mungkin cerita ini direka oleh Amirkhan semata-mata untuk memperdayakannya. Sudahlah Amirkhan itu pernah menipu tok gurunya sendiri, apatah tidaknya dia menipu pelanggan yang datang mencarinya. “Bukankah tuan sudah mencuri ular kepunyaan tok guru tuan itu?” tanya Theeban kepada Amirkhan.
“Cis, berani kamu menuduh saya sebagai pencuri?” Theeban tidak sangka Amirkhan akan menjadi marah dan tersinggung dengan kata-katanya tadi.
“Adakah peperangan yang dilakukan oleh raja-raja pada zaman dahulu digelar sebagai mencuri atau merompak? Jika seseorang itu memerlukan sesuatu, maka dia perlulah bertarung nyawa untuk mendapatkannya. Itulah prinsip asas kehidupan. Pahala dan dosa tidak boleh dikira dalam perkara ini. Orang yang menghendakkan sesuatu akan cuba merampasnya. Jika kamu mempunyai kuasa maka bertahanlah diri daripada dirompak. Jika kamu hendak hidup selesa, maka tidak salah kalau kamu mengambil atau merampas apa yang kamu hendak daripada orang lain. Jika harta kamu tidak mahu dirampas atau dirompak, maka bertarunglah untuk melindunginya. Janganlah kamu mempertikaikan prinsip ini,” kata Amirkhan dengan begitu berang lalu meramas misainya. Theeban terkaku sahaja sambil mendengar balasannya itu. Terfikir juga dalam hatinya bahawa dia tidak patut bertanyakan soalan itu tadi.
“Tidak semestinya kamu digelar sebagai raja walaupun kamu diberi mahkota. Kamu harus memiliki ciri-cirinya jika hendak menjadi seorang raja,” pesan Amirkhan sambil meneguk segelas air yang diambil daripada periuk tanah di situ.
Theeban masih mendiamkan diri. Kini, dia sedang berfikir sama ada dia boleh mengumpulkan duit sejumlah sepuluh ribu dalam tempoh dua hari ataupun tidak. Sementara dia berfikir, kepalanya mula berasa pening.
“Batu permata yang bakal diperoleh itu nanti akan membawa segala ketuahan kepada saya. Batu itu seumpama batu yang direstu oleh dewa dan dewi dari kayangan. Saya boleh melakukan apa sahaja dengan adanya batu permata itu. Sama ada orang yang berniat buruk ataupun bermusuh, tidak dapat mendekati saya selepas saya memilikinya nanti. Segala nasib hidup saya akan berubah sebaik sahaja saya memiliki batu itu nanti. Batu itu tidak boleh disentuh dengan tangan biasa. Walaupun menjadi batu yang berkilat, batu itu terhasil daripada bisa yang amat berbahaya. Batu itu hanya boleh dilihat menerusi cermin. Jika melihatnya secara langsung dengan mata kasar, maka minda kita akan hilang waras nanti. Hanya saya seorang yang tahu cara untuk mendapatkannya,” kata Amirkhan dengan penuh perasaan.
“Kalau begitu, bagaimana pula dengan kerja-kerja menjual ubat dan tangkal yang tuan lakukan itu?”
“Semua ini saya lakukan untuk memperdayakan orang di luar sana,” kata Amirkhan lalu mematahkan sebiji tangkal yang ada di sebelahnya. “Lihat apa yang ada di dalamnya. Tangkal ini diisi dengan air biasa sahaja. Semua barang yang saya jual ini bukan asli sebenarnya. Saya hanya memperdayakan orang lain untuk mendapatkan duit,” katanya lagi.
Theeban hanya mendiamkan diri sahaja.
“Bagi saya, tidak salah jika kamu berbohong demi suatu kebenaran yang tersembunyi. Semua ubat dan minyak yang saya jual ini diperbuat daripada air perahan tumbuhan herba sahaja. Produk-produk tersebut tidak pernah dicampur dengan darah ataupun bisa ular. Sebenarnya, saya tidak memiliki ular lain selain daripada Neelavenu ini. Ular lain tidak berani mendekati kawasan yang adanya Neelavenu ini. Saya juga tidak pernah menyentuhnya sejak hari pertama saya membawanya ke sini. Sekali dalam sebulan, saya memberinya seekor katak untuk dimakan.”
Setelah berfikir sejenak, Theeban meninggalkan tempat itu. Dia berasa keliru dengan segala penjelasan yang disampaikan oleh Amirkhan tadi, sama ada boleh dipercayai ataupun tidak. Dia berasa curiga juga atas Amirkhan yang tidak pernah berpegang pada kebenaran dalam hidupnya. Setelah berfikir panjang, Theeban telah membuat rancangan lain untuk mengatasi masalah tersebut. Pada keesokan pagi, Theeban pergi ke rumah Amirkhan dengan membawa jumlah duit yang dimintanya. Walaupun telah diminta berulang kali, Amirkhan tidak mengizinkan Theeban untuk melihat ular Neelavenu tersebut. Amirkhan telah memberi alasan bahawa ular tersebut sedang bertapa dan mampu membunuh Theeban jika mengalami gangguan. Amirkhan telah pinta Theeban agar datang pada keesokan pagi untuk mengambil ularnya. Theeban terpaksa mengaku dengan pintaannya secara terdesak. Walaupun berasa curiga, dia tetap yakin dengan kata janji yang diberi oleh Amirkhan kepadanya.
Sebenarnya, Theeban telah mencuri sejumlah wang yang diminta oleh Amirkhan itu daripada pemilik pusat pelacuran yang dijaganya. Dia sedang diburu oleh pemilik berbangsa Cina dan anak-anak buahnya. Memandangkan duit itu merupakan hasil kutipan daripada kegiatan pelacuran, maka pemiliknya tidak mampu membuat aduan kepada pihak polis. Anak-anak buah Theeban tahu bahawa dia sedang mengekori Amirkhan sejak beberapa minggu yang lalu, maka setiap saat yang dilewatkan olehnya mampu mengancam nyawanya mahupun nyawa Amirkhan. Sebenarnya Theeban telah mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Kedah sebaik sahaja menelan hempedu ular Neelavenu. Hatinya berdebar-debar kerana mungkin gambarnya itu sudah tersebar luas dalam kalangan ahli-ahli kongsi gelap tempatan agar dapat memburunya secepat yang mungkin. Jalinan hubungan antara ahli-ahli kongsi gelap ini tersebar luas di seluruh negara, maka dia boleh diserang di mana-mana sahaja. Sekiranya dia kena tangkap, maka dia akan ditembak mati serta-merta. Mungkin rakan-rakan sekerja yang menjaga pusat pelacuran itu sendiri boleh berpaling tadah terhadapnya. “Memandangkan nyawa saya kini diancam bahaya, apa salahnya kalau saya merampas batu permata Neelavenu daripada Amirkhan itu nanti?” terlintas dalam fikirannya secara tiba-tiba. Dia mula yakin bahawa batu permata itu mampu menyelamatkan dirinya daripada segala masalah yang sedang berlaku. Maka, dia telah mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Amirkhan pada malam bulan baharu.
“Laporan bedah siasat membuktikan bahawa Amirkhan meninggal dunia setelah minum racun,” kata Inspektor Amirullah Ali.
Theeban berasa lega sedikit setelah mendapat tahu bahawa dia akan dilepaskan setelah diikat jamin. Perutnya yang kosong kerana tidak makan sejak pagi tadi barulah mula berkeroncong. Badannya yang basah berpeluh membuatkannya berasa kurang selesa.
Theeban sedar bahawa Inspektor Amirullah Ali tidak mempercayai langsung dengan keterangan yang diberinya tadi. Theeban yang membuat makluman kepada pihak polis setelah melihat mayat Amirkhan di rumahnya pada malam tersebut. Namun, pihak polis masih sangsi dengan pengakuan Theeban yang menyatakan bahawa dia pergi ke rumah Amirkhan untuk mendapatkan hempedu ular. Ketika disoal siasat, Theeban menyatakan bahawa dia telah membayar wang sebanyak sepuluh ribu ringgit kepada Amirkhan untuk mendapatkan hempedu ular tersebut. Keraguan pihak polis bertambah lagi apabila menemui sebilah pisau daripada kocek seluarnya ketika melakukan pemeriksaan. Selepas melakukan siasatan forensik di kawasan kejadian, pihak polis menyerahkan laporan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Amirkhan pernah membela ular di rumahnya itu. Budak kecil yang mengikuti Amirkhan ke tapak jualan juga memberi pengakuan bahawa dia tidak pernah melihat ular di dalam bakul-bakul yang disimpan oleh Amirkhan itu. Siasatan dengan menggunakan skuad anjing polis juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam laporan. Beberapa bakul buluh yang kosong, beberapa ikat tumbuhan herba dan botol-botol minyak sahaja dijumpai di rumah tersebut. Sehelai resit yang terbakar sebahagiannya juga ditemui di dalam rumah itu. Resit itu merupakan bukti penghantaran wang dari sini ke tanah airnya.
“Amboi, licik sungguh si mati ini! Banyak juga wang yang dikutipnya daripada hasil jualan ubat dan minyak tradisional,” kata Inspektor Amirullah Ali.
“Bukan begitu, tuan. Mungkin dia seorang raja daripada keturunan Jameen di tanah airnya,” Inspektor Amirullah Ali merenung mata Theeban dengan pelik apabila dia berkata sedemikian.
Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Gambar ehsan Jan Kopřiva di Unsplash.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.