Photo by Pretty Drugthings on Unsplash
Cinta? Apa yang kau tahu tentang cinta? Tiada yang lebih tahu tentang cinta melainkan aku, Allah dan habib. Jangan kau temberang kau tahu semuanya tentang cinta. Jangan.
Jangan temberang!
Kenapa aku yakin aku lebih tahu? Hahahahaha! Bodoh! Kau semua memang dungu. Buta hati dan buta mata. Aku yakin aku lebih tahu kerana Allah dan cintaNya sendiri pernah menjelma di hadapanku. Habib yang mengajarkannya kerana aku wanita istimewa. Penghulu wanita syurga, katanya. Setanding dengan Fatimah RA. Ketaatanku kepada habib menjadikan Allah sangat sayang padaku. Kalau lelaki lain bilang, aku tidak percaya, tetapi habib tidak pernah berbohong.
Habib yang menyelamatkan aku dari lembah hina. Wajahnya terang bercahaya bagai Isa Al-Masih.
Mungkin juga Nabi Muhammad SAW. Orang kata Nabi Muhammad hensem…hihihi…habib pun hensem.
Aku hanya pekerja seks jalanan pada suatu ketika. Sekadar mencari rezeki di Chow Kit, kadang-kadang di Lorong Haji Taib. Aku tidak tahu di mana ibu bapaku. Kata kawan-kawan, orang tuaku berasal dari Chow Kit juga. Entahlah. Aku tidak pernah berjumpa mereka. Entahkan hidup atau mati. Namun habib sentiasa berpesan agar aku mendoakan mereka. Ya, aku doakan. Jika hidup, biar selamat. Jika mati, biar selamat dari Sujaul Aqra. Habib tidak pernah bohong.
Sejak kecil, aku kutip botol dan tin untuk dijual. Duitnya aku beli makanan. Aku jemu punya wang RM2-3 sehari. Melihatkan pekerja tauke Yong semua pakai baju cantik-cantik dan mekap lawa-lawa, aku ingin jadi seperti mereka. Aku berani. Aku bilang sama tauke Yong aku nak kerja dengan dia. Pada hari yang sama, aku beroleh pelanggan pertama aku.
Sakit! Sakit! Sakit!
Tubuh kecil aku dihenyak dan dihempap. Dia naik aku macam kuda sehingga kemaluanku berdarah. Aku rasa kulit lembut di bawah celah kangkangku koyak. Lengan, paha dan pipi digigit. Aku menjerit panggil tauke Yong. Siapa pun tak peduli…kemudian aku hanya diberi rehat satu jam…kemudian pelanggan datang lagi…dan lagi…dan lagi…
Aku rasa bagai nak mati.
Tapi aku tak menyesal. Aku dapat duit banyak. Aku beli baju cantik dan mekap. Pelanggan selalu puji aku cantik. Kulit aku halus gebu. Ina yang kutip tin sekali dengan aku pernah kata aku nampak macam perempuan Jerman.
Di mana Jerman tu?
Katanya ramai perempuan kulit putih bermata kelabu di sana macam aku.
Aku harap aku dapat kumpul duit untuk pergi Jerman dan tengok sendiri. Tapi kata habib, Jerman tempat ramai orang buat dosa. Tak payah pergi pun tak apa. Kalau pergi, mengundang kemarahan Allah. Aku tak mahu Allah marah. Aku sayang Allah. Jika tidak, aku tak dapat jumpa habib. Habib adalah segala-galanya bagi aku selepas Allah.
Ah! Kita lupakan cerita lama. Aku sudah bersih sekarang. Habib yang bersihkan. Katanya, aku bagaikan bayi yang baru lahir semula. Suci bagaikan salju. Dulu aku tak kenal Allah. Kini aku sangat-sangat gembira mengenali Allah melalui sifat 20 dan makrifatnya. Sebelum ini, hidup aku gelap, kotor dan jijik. Tapi habib tak pernah layan aku macam perempuan jijik. Dia sayang aku. Dan sudah tentu, aku pun sayang dia.
Oh! Maaf!
Aku lupa ceritakan kepada kau orang. Habib ni penyelamat aku. Seorang lelaki yang baik. Ustaz. Alhamdulillah. Aku ditunjukkan ke jalan yang benar. Dia punya ramai pengikut. Semua pengikut sayangkan dia hinggakan sanggup mati demi dia. Sama seperti aku. Kadang-kadang aku cemburu bila ada pengikutnya yang tampak terlebih sayang pada habib.
Astargfirullah! Auzubillahi minassyaitonirrajim! Syaitan!
Aku mesti sabar. Baru boleh masuk syurga.
“Intan sayang, inilah dugaannya menjadi wanita pilihan. Intanlah pilihan habib. Bunga syurga. Khairunnisa.”
Pujukan habib sentiasa membekas di hatiku.
Setiap malam, habib akan buat kelas agama di sebuah surau kecil di kampung ini. Siang habib mengajar Quran. Ada budak kecil, ada orang tua. Aku pun belajar. Tapi otakku benak sedikit. Hahaha! Lambat belajar. Tapi habib tak pernah marah. Katanya, zaman Rasulullah dulu, yang mengaji Quran semuanya orang tua-tua, lambat belajar macam aku juga. Tetapi akhirnya mereka semua jadi penghuni syurga. Hatiku berbunga. Inilah cita-citaku.
Hihihi…!
Suatu hari, selepas kami mengadakan hubungan, habib bertanya,
“Intan nak tengok Allah? Macam Nabi Musa AS?”
Aku angguk dengan pantas. Siapa tak nak?
“Ada banyak peringkat tau. Intan sanggup tahan? Kalau tak sanggup, habib tak ajar. Bukan mudah nak sampai tahap boleh nampak Allah. Tapi habib rasa Intan boleh,” kata habib, dengan penuh yakin.
Hatiku berkobar-kobar. Dadaku menjadi kencang mendengar kata habib. Habib tak pernah bohong.
Malam itu, bermulalah peringkat pertamaku untuk melihat Allah. Habib belai aku dengan penuh kasih sayang selepas sembahyang Isyak. Perlahan-lahan dia tanggalkan semua pakaian aku. Aku kaget. Allah suka kita kelihatan tanpa seurat benang ke?
“Kita kena kembali kepada fitrah manusia apabila dilahirkan. Tak ada istilah aurat di situ.”
Ohhh…baru aku tahu.
“Pejam mata, dan buka mulut, Intan.”
Aku patuh. Sesuatu dimasukkan ke dalam mulutku.
“Pahit, habib!”
“Telan!”
Malam itu aku nampak Allah. Tubuhku melayang diangkat ke langit. Macam peristiwa Isra’. Cahaya itu begitu gemilang. Kebahagiaan mekar di hati dengan gelombang demi gelombang yang meluru tanpa henti. Ada hitam, kemudian biru, merah, kuning, hijau. Kemudian bunga-bunga…sungai…ada bentuk geometri…ada kartun Tom and Jerry. Pendek kata semua perkara yang aku suka atas dunia yang fana ini ada di sini. Allah bersamaku. Aku berbual-bual denganNya. Dia melayan aku dengan penuh kasih sayang. CahayaNya menyentuh seluruh tubuhku.
Aku di syurga! Syurga!
Hahahahahahahaha!
Kemudian pertemuan itu tamat dengan tiba-tiba. Ah! Hati merekam kecewa. Anehnya lubang punggung sakit selepas itu. Kata habib, aku terjatuh semasa turun dari langit menghempap bontot. Ohhh…begitu.
Aku nak tengok Allah lagi. Aku bahagia. Sangat bahagia.
Habib sangat gembira melihatku. Katanya, aku sudah lulus. Menjadi manusia pertama yang melihat Allah selepas habib sendiri.
Benda baik begini, takkan aku tamak sendiri. Habib kata, benda yang baik harus dikongsi beramai-ramai. Habib nak jemaah perempuan dulu rasa pengalaman tu. Habib sangat mementingkan wanita. Dalam kelas pun, wanita sering didahulukan. Wanita punya darjat tinggi dalam Islam, kata habib. Malah habib adalah lelaki yang paling menghormati perempuan pernah kujumpa seumur hidup.
Malam itu, habib melakukan peringkat pertama kepada jemaah perempuan surau kampung ini yang seramai 12 orang. Aku tidak dibenarkan berada di sana. Tak sesuai dengan darjat aku sebagai wanita pertama yang melihat Allah, jadi aku mesti tinggal di rumah. Aku akur lagi.
Keesokan harinya semua jemaah perempuan riuh bercerita tentang pengalaman mereka melihat Allah.
Aku hanya tersenyum. Aku masih yang teristimewa. Sebabnya tidak seorang pun jatuh ketika turun dari langit. Kata habib, Allah tak nak lepas aku turun, sebab tu aku terjatuh dan sakit bontot. Hihihi!
2-3 hari selepas itu, aku jatuh sakit. Badanku terketar-ketar. Peluh merecik di dahi. Habib membelai dahiku dan mengucupnya. Dia memandang aku dengan penuh kasih sayang.
“Ini bukan sakit, Intan. Allah nak jumpa kamu lagi. Dia rindu kamu. Selepas jumpa, Intan pasti baik.”
Dan sekali lagi, habib melakukan upacara itu. Aku diberi dua butir kristal yang indah. Katanya itulah batuan syurga yang membolehkan aku jumpa Allah.
Aku telan tanpa berfikir panjang.
Tapi kali ini aku tak jumpa Allah. Suasana gelap dan hitam. Ada sekali, aku buka mata, aku nampak manusia berpakaian putih, kemudian suasana gelita lagi.
Mana Allah? Mana? Mana? Mana?
Badan aku kejang dan kejur. Sayu-sayup kedengaran, Allah memanggilku.
Allah!!!!!!!! Allahhhh!!! Allahhh!!!
***
Doktor Haslina berlari-lari anak ke wad. Dia sudah lambat pada hari pertamanya. Ketika dia sampai, doktor pakar dan ketua pengarah hospital telah berada di wad intensif itu. Dia tesenyum malu, dan membetulkan rambutnya yang kusut itu.
Matanya tertancap kepada pesakit yang mengerekot di lantai. Mulutnya berbuih-buih. Matanya membuntang namun anak matanya tidak kelihatan. Sesekali badannya mengejang dan mengendur berulangkali. Di pintunya tertera nama Intan.
“Pesakit ini tanggungjawab kamu, Haslina. Apa yang kamu lihat sekarang adalah kesan dadah psikoaktif sintetik baru. Kesannya adalah 5 kali ganda dari kanabis…”
Bam!
Serentak, ketiga-tiga doktor itu berpaling. Pesakit yang bernama Intan itu telah berlumuran darah di lantai setelah kepalanya dihantukkan ke dinding.
Dengan pantas mereka berlari ke pintu.
Xeva Spaite merupakan seorang aktivis pelarian dan masyarakat yang sukakan kanak-kanak dan makanan Siam. Waktu senggangnya dihabiskan dengan menghias jurnal commonplace beliau dengan stiker dan kata-kata indah yang beliau dapati daripada novel atau sebarang bahan bacaan yang menarik hati beliau. Beliau boleh dihubungi di [email protected] atau di laman FB beliau.
Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada [email protected]. Banyak lagi cerpen disini.
Tags: Xeva SpaiteWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.