Kereta yang aku pandu terperangkap di dalam kesesakan jalan raya hampir satu jam lamanya. Tiada pergerakan kenderaan langsung di hadapan.
Oh ya, lumrah tinggal di bandar, semua orang bersetuju ia datang sekali dengan pakej wajib bersama kesesakan jalan raya.
Mana tidaknya, bukan sahaja pertambahan jumlah penduduk yang amat padat, jumlah kenderaan yang berebut di dalam kesesakan juga turut mencanak naik!
Memanglah tidak mungkin dapat melarikan diri daripada menghadapi kesesakan jalan raya setiap hari. Waktu pergi dan balik kerja adalah waktu kemuncak, pasti mengambil masa yang sangat lama dengan terperangkap di atas jalan raya, terasa banyak masa terbuang begitu sahaja.
Dalam kesesakan sambil mulutku ikut sama menyanyikan lagu “Cukup Sampai Disini” yang mendayu-dayu berkumandang dicorong radio, baru aku terperasan yang kali ini kereta aku betul-betul terhenti di hadapan sebuah restoran makanan segera jenama ‘Pakcik Tua’.
Lama aku merenung papan tanda restoran tersebut dan tanpa sedar aku seperti ‘dibawa balik’ ke alam kanak-kanak aku dahulu.
Mesti sedapkan kalau dapat memakannya, mesti kita makan sampai habis tiada sisa.
Bagaimanalah rasanya ya?
Mesti sampai licin pinggan dan menjilat jarikan?
Masih ingat lagi setiap kali lalu berhampiran restoran makanan segera itu apabila berjalan pulang dengan kawan-kawan dari sekolah, aku akan berhenti untuk ‘mengambil bau’ dan melihat pelanggan yang makan.
Anak kecil seperti aku dulu, rasanya sangat biasa untuk berkelakuan sebegitu sebab aku tahu untuk membelinya adalah di luar kemampuan keluarga aku ketika itu.
Dulu keluarga aku hidup serba susah sebab bapa bukanlah pekerja yang berpendapatan bulanan.
Ada kerja adalah gaji, jika tiada apa-apa pekerjaan untuk dibuat bermakna keluarga kami memang perlu ‘ikat perut’.
Ketika itu dapat makan nasi dan telur ayam goreng mata sahaja sudah tersangat bersyukur. Kami adik-beradik makan dengan penuh selera.
Untuk makan, makanan segera seperti itu hanya dalam angan-angan kami.
Kadang-kadang adik aku yang bongsu akan menghabiskan nasi dipinggan dan kemudian akan menjilat kesemua jarinya sambil berkata sedap sangat!. Kami tahu yang adik berangan seolah sedang menikmati makanan segera tersebut!
Betapa naifnya kami ketika itu.
Kami menyimpan angan-angan dan cita-cita dimana jika sesiapa diantara adik-beradik kami yang mula bekerja dan mendapat gaji pertama akan membelanja kesemua ahli keluarga kami makan di restoran makanan segera tersebut.
Begitu besar angan-angan dan cita-cita budak sekecil kami dahulu yang hidup serba susah.
Untuk masuk dan makan di dalam restoran makanan segera jenama Pakcik Tua!
Akhirnya dengan gaji pertama setelah aku menamatkan pengajian di universiti. Aku membawa emak, bapa dan adik-adik aku yang ketika itu ada yang sedang belajar di universiti untuk makan di dalam restoran segera tersebut.
Rasa sedih dan sebak bilamana kami duduk bersama di hadapan pinggan-pinggan makanan tersebut. Teringat kembali kenangan zaman kanak-kanak dulu.
Adik bongsu aku yang umurnya sudah menjangkau 15 tahun melakunkan semula aksinya semasa kecil sambil menjilat jari.
Itu antara kenangan paling indah bagi aku dulu. Hidup dalam keadaan yang susah serba serbi tapi menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi menjadi keutamaan emak dan bapa dalam membesarkan anak-anak. Walaupun susah emak dan bapa akan pastikan kami dapat pelajaran yang terbaik.
Sekarang ini untuk kami menikmati makanan segera tersebut atau apa sahaja pada bila-bila masa sudah tidak menjadi halangan lagi.
Terima Kasih kepada pengorbanan emak dan bapa serta kesabaran dan ketekunan adik-beradik aku dalam menjalani hidup.
Lagu “Ayah dan Ibu” nyanyian penyanyi tersohor arwah Sudirman Haji Arshad mengejutkan aku dari lamunan yang lama.
Basah pipi aku, aku menangis rupanya.
Sambil aku turut menyanyi bersama Sudirman, kereta mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kesesakan tersebut.
“Ayah dan ibu, itulah permulaan kami…dapat melihat bulan dan matahari…”
Gambar ehsan dwi Pradhika di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.