Siri rencana berjudul “Sasterawan Kavyan” (Eksentrika, 5 April 2017 – 17 Mei 2017), “Sasterawan Kavyan dan Sastera Kebangsaan” (Dewan Sastera, Jun 2017), serta “Kaum India dan Sastera Kebangsaan” (Eksentrika, 21 Mei 2019 – 28 Ogos 2019) memberi gambaran jelas mengenai sumbangan dan peranan golongan penulis kaum India di Malaysia kepada perkembangan Sastera Kebangsaan; khususnya cerpen Bahasa Malaysia.
Para pengkaji biasanya meneliti perkembangan dan penglibatan generasi baharu penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP yang dimulakan pada tahun 1987; secara kebetulan selepas Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dimulakan pada tahun 1971 berjaya dilaksanakan sepenuhnya dari peringkat sekolah rendah hingga universiti.
Sesungguhnya, kajian dan penelitian terhadap cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan (penulis kaum India) dapat membantu kita memahami budaya komuniti itu sebagaimana disajikan secara penuh kreatif menggunakan Bahasa Malaysia.
Selain daripada siri tujuh buah antologi pemenang pertandingan Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara tahun 1988 dan 1998, saya turut menemui sebuah antologi lain yang kurang dikenali tetapi amat wajar diteliti.
Antologi cerpen Bermulanya di Sini (1991) adalah hasil usaha sekumpulan lapan mahasiswa tahun ketiga di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya sesi 1991/92. Mereka membukukan 14 buah cerpen karya asli mereka bagi memenuhi keperluan kursus Pengurusan Penerbitan.
Mereka terdiri daripada lapan penulis Bukan Melayu, iaitu empat penulis kaum Cina dan empat penulis kaum India. Daripada 14 buah cerpen, tujuh buah cerpen ditulis oleh penulis kaum India. Apabila diteliti, terdapat tiga buah cerpen yang memaparkan budaya kaum India.
Sebagai individu yang berminat melakukan kajian dan dokumentasi berkaitan pemaparan budaya kaum India dalam cerpen-cerpen Sasterawan Kavyan, saya berusaha meneliti ketiga-tiga cerpen itu menggunakan Teori Budaya.
Konsep relatif yang digunakan dalam kajian antropologi kebudayaan oleh Franz Boas, serta diterangkan dalam bukunya, Race, Language and Culture (1940), menekankan hakikat setiap bangsa, kaum, keturunan, etnik atau kumpulan manusia memiliki kebudayaan dan budaya yang unik serta diperturunkan dari generasi ke generasi.
Sebagaimana dijelaskan oleh Rohaya Yusof dalam buku Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi (2006), “budaya kebendaan” merujuk kepada artifak atau barangan ciptaan manusia seperti objek fizikal, peralatan, binaan, senjata, kenderaan dan seumpamanya yang boleh dilihat dan dipegang.
Manakala “budaya bukan benda” masih merupakan ciptaan manusia tetapi abstrak dan tidak boleh dilihat dengan mata atau dipegang secara fizikal; misalnya adat resam, kepercayaan, undang-undang, falsafah dan nilai-nilai kekeluargaan.
Kerangka budaya yang dihuraikan oleh Franz Boas dan Rohaya Yusof, serta konsep “Sastera Kebangsaan” yang dipelopori di Malaysia sejak tahun 1971 dijadikan garis panduan dalam usaha meneliti kejayaan tiga buah cerpen dalam antologi Bermulanya di Sini mengetengahkan budaya kaum India menerusi karya Bahasa Malaysia.
Cerpen “Shamala” ditulis oleh Thilaga Vathy Rajoo yang berasal dari Teluk Intan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahiran sebelum melanjutkan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya. Beliau yang kini menetap di Cheras merupakan pemilik ijazah sarjana komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Thilaga Vathy Rajoo memulakan kerjaya sebagai ejen kawalan kredit di bahagian kewangan DHL Malaysia pada tahun 1995. Sejak 2016, beliau memegang jawatan Pengarah Gateway DHL Malaysia dan kejayaan beliau turut mendapat liputan khas dalam akhbar Kosmo! (5 April 2019) dan New Straits Times (7 Mei 2019).
Kisah yang disajikan oleh beliau menerusi cerpen “Shamala” adalah berkaitan watak bernama Shamala @ Mala, anak tunggal pasangan Linggam dan isterinya. Shamala dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan “makna hidup mereka adalah Shamala” (hlm. 75).
Pada suatu hari, keluarga sahabat Linggam datang untuk melamar Shamala. Ibu Shamala memberitahu dengan gembira: “Ini Ram dan ibu bapanya, kawan ayahmu. Mereka datang ni, nak tengok kau.” (hlm. 76).
Shamala @ Mala tidak mengenali Raman @ Ram. Sekiranya diteliti dari sudut amalan, adat dan budaya kaum India, kedatangan Raman bersama-sama ibu bapanya untuk melamar Shamala bukanlah sesuatu yang asing. Suresh Kumar N Vellymalay dan Sivarajan Ponniah dalam buku Budaya, Adat dan Ritual Penganut Agama Hindu di Malaysia (2019) menerangkan dengan terperinci proses merisik, melamar dan meminang dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu.
Memandangkan Linggam dan bapa Raman sudah lama bersahabat, maka tidak timbul keperluan melalui proses merisik secara formal. Linggam sudah sedia tahu latar belakang Raman dan keluarganya. “Ram tu budak yang baik, Mala. Bapanya orang berpangkat, disegani orang kampung mereka,” Linggam cuba meyakinkan anaknya (hlm. 77).
Dalam budaya tradisi India, tarikh parisam (pertunangan) dan thirumanam (perkahwinan) akan dibincang dan diputuskan semasa pihak lelaki pergi meminang. Akan tetapi, proses itu boleh juga dipercepatkan. Misalnya, dalam cerpen ini, sehari selepas Raman dan ibu bapanya datang melamar Shamala, Linggam memberitahu anaknya: “Mala, ayah dah tetapkan tarikh perkahwinan kau. Pemudanya bukan orang lain. Ram, anak kawan ayah petang semalam tu.” (hlm. 77).
Hal ini membayangkan kemungkinan proses menilai kesesuaian jodoh (poruttam), penetapan tarikh perkahwinan dengan bantuan sami berdasarkan almanak Hindu (pancaankam) dan tempahan sami untuk mengendalikan majlis perkahwinan sudah pun diuruskan. Kemungkinan besar, kesemuanya sudah dibincang dan diuruskan oleh pihak ibu bapa sebelum Raman datang untuk melamar Shamala secara formal.
Gambaran yang diberikan menerusi cerpen “Shamala” karya Thilaga Vathy Rajoo adalah sebuah keluarga yang moden tetapi masih tetap berpegang kepada tradisi dan nilai-nilai kekeluargaan. Misalnya, ibu bapa berhak dan bertanggungjawab memilih dan memutuskan bakal suami bagi Shamala.
Linggam juga bersikap tegas apabila dia memberitahu anaknya: “Kami tahu apa yang sesuai untuk kau, Mala. Tak perlu kami tanya-tanya lagi.” (hlm. 78). Shamala akur pada keputusan itu kerana dia tidak terdaya menghalang atau menentang kehendak dan pilihan ibu bapanya (hlm. 79).
Shamala hanya berserah kepada Tuhan dalam situasi ini. Diceritakan bahawa dalam masa sebulan sahaja, dia sudah berkahwin dan “seutas thali kuning telahpun tergantung pada lehernya” (hlm. 79).
Dalam apa juga keadaan, budaya India-Hindu mengajar setiap orang supaya sentiasa mempercayai perancangan Tuhan serta berserah kepada kuasa Tuhan dalam segala hal. Manusia boleh merancang tetapi Tuhan yang akan menentukan segala hal yang berlaku dalam hidup seseorang. Realiti ini juga dipaparkan secara penuh kreatif menerusi cerpen ini.
Walaupun Thilaga Vathy Rajoo tidak menulis sebarang cerpen selepas menamatkan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya, cerpen “Shamala” yang diteliti di atas merupakan suatu dokumen penting untuk menunjukkan kemampuan Sasterawan Kavyan mengangkat budaya kaum sendiri dalam karya Bahasa Malaysia. (Bersambung)
*** Gambar ehsan Marie Couffon de Trevros di Unsplash.
Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada [email protected]. Baca yang ini pula.
Tags: Marie Couffon de Trevros, Thilaga Vathy Rajoo, Uthaya Sankar SB
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.