Saya mula sedar yang saya sedang hidup di muka bumi ini pada awal tahun 70an. Walaupun saya dilahirkan pada tahun 1968, saya tidak dapat ingat kehidupan saya sejak dalam kandungan ibu atau saat-saat dilahirkan di muka bumi ini. Mungin kebanyakan orang pun begitu. Imbauan saya hanya bermula daripada umur dua sahaja
Apa keistimewaan diri ini untuk dilahirkan pada era itu? Jauh berbeza jika dibandingkan dengan zaman sekarang. Segala-galanya amat berlainan dengan apa yang kita sedang nikmati sekarang.
Ibu dan bapa saya berasal dari Segamat, Johor. Penghijrahan mereka ke Pahang adalah untuk mencari nafkah. Bapa saya bekerja di pejabat NUPW ( Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang) yakni satu kesatuan yang ditubuhkan untuk menangani hal ehwal buruh di estet-estet getah dan kelapa sawit. Ibu pula bekerja di sekolah rendah Tamil di Felda Lurah Bilut ketika itu.
Oleh sebab ibu bekerja dan saya mempuyai abang yang berusia tiga tahun, tua daripada saya, saya sering dihantar ke rumah nenek, sebelah ibu di Estet Labis di Johor. Ketika itu ia adalah sebuah ladang kelapa sawit. Datuk telah meninggal dunia sebelum saya lahir lagi. Nenek dan seorang emak saudara bekerja sebagai guru di Sekolah Rendah Tamil di situ. Mendiang datuk saya juga seorang guru. Boleh dikatakan kami tidak datang daripada keturunan buruh, datuk sebelah bapa juga bekerja sebagai mandur. Mereka berasal dari Tamil Nadu, India. Tahun kedatangan mereka ke Malaya, masih kabur.
Kehidupan saya di Estet dikelilingi oleh bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara, iaitu adik-beradik ibu saya. Saya menjadi kemanjaan mereka. Kecomelan saya ketika itu membuatkan mereka amat sayang terhadap saya. Tetapi itu bukan bermaksud saya mewah dengan gula-gula coklat atau biskut. Sarapan saya ketika berusia satu tahun lebih adalah bubur yang diperbuat daripada tepung ragi. Ia berwarna perang dan pekat. Memang saya amat terseksa untuk menelan bubur itu. Ibu saudara saya yang menyuapkan sarapan yang sangat istimewa itu. Bila teringatkan sekarang, memang meloyakan. Saya benci nestum dan oats sebab ia seakan sama dengan kepekatan bubur ragi. Saya tidak tahu akan zat-zat yang ada dalam tepung ragi ketika itu. Walaupun saya sudah tahu kebaikannya, saya masih tidak sentuh hingga kini.
Kehidupan di Estet Labis boleh dikatakan lain daripada kehidupan saya di Bilut dan Bentong. Di Bentong ada elektrik, Di Labis kami bermandikan dengan cahaya lampu gaslin dan lampu minyak tanah.
Lampu gaslin sungguh cantik rupanya. Jenama Butterfly. Cara untuk menyalakan lampu gaslin memang rumit, pada pandangan saya. Pakcik-pakcik saya memang pakar dalam bidang itu. Setelah minyak spirit/gas diisi ke dalam tangki dan ditutup ia akan dipam. Saya suka akan bau gas yakni minyak spirit itu. Lampu gaslin perlu dipam semula jika ia mula malap. Saya tidak tahu bahagaimana mentol seumpama kain itu berfungsi sebagai mentol. Pakcik-pakcik saya tidak membenarkan saya untuk mengepam lampu gaslin walaupun sehingga umur 6 tahun saya masih sentiasa mengunjungi Labis.
Kediaman rumah estet di Labis memang canggih. Mungkin rumah guru dan rumah staf estet lebih baik keadaannya daripada kediaman pekerja estet yang lain. Seingat saya rumah nenek saya itu, rumah papan ber’double storey’ bercat hijau. Di bahagian bawah dapur dan stor. Di bahagian atas adalah ruang tamu dan mempunyai tiga buah bilik kalau tidak silap saya. Lampu gaslin akan dinyalakan lebih kurang pukul 7 malam. Memang gelap gelitalah kawasan ladang kelapa sawit itu ketika malam. Cuma nampak rumah masing-masing bercahaya sedikit, dari jauh dengan bantuan lampu gaslin.
Ada pada satu hari lampu gaslin terjatuh di atas meja yang terletak di anjung tingkat atas. Meja pula terbakar dengan amat pantas sebab minyak gas turut tumpah atas meja. Saya dan makcik saya memekik ‘neruppu … neruppu!’ (api …api!). Jiran tetangga pula membawa kayu yang panjang-panjang. Mereka ingatkan kami menjerit ‘paambu … paambu! ( ular … ular!). Memang melucukan pada ketika ini, tetapi pada waktu itu memang takut dan marah menyelubungi diri kami. Bagainamapun kami sendiri berjaya memadamkan api itu dengan usaha pakcik-pakcik dan jiran kami.
Di depan rumah kami di Labis itu ada padang yang luas dan sebuah kuil kecil “Muniswaran”. Ada berhala Dewa Muniswaran dan berhala Bairava ( dewa anjing). Mereka merupakan pengawal untuk masyarakat setempat di situ. Saya yang ketika sudah berusia lima tahun dan abang saya akan sembah dewa-dewa itu bila-bila kami lalu di situ. Dewa Muniswaran bermisai lentik dan memegang menegak sebilah parang panjang di tangan kanannya. Tidak tahu kuil itu dibina pada tahun berapa dan tidak pasti akan keadaannya sekarang.
Di padang depan rumah itu jugalah saya dan abang saya sering bermain badminton dengan tidak tentu hala dan menggunakan raket badminton sebagai gitar. Masih tersimpan gambar-gambar itu yang ditangkap oleh salah seorang pakcik kami yang bernama Noah Sambanthan, yang sering ke negara-negara Eropah. Mendiang menjadi pemastautin tetap di Perancis sejak tahun 1982. Beliau berumah tangga dengan seorang Serani, Melaka. Makcik saya itu yang bernama Agnes sering akan pulang ke Malaysia setiap bulan Mac sempena memperingati hari kematian mendiang pakcik saya. Adik beradik makcik saya yang serani itu, seorang telah berhijrah ke Perancis dan yang lain-lain masih tinggal di Melaka dan lain-lain tempat. Masing-masing berkahwin campur dengan India, Cina dan Melayu.
Sebulan sekali atau dua kali akan ditayangkan Wayang Pacak di padang yang luas itu. Kalau tidak silap pihak daripada syarikat Shaw Brothers yang datang dengan van untuk menayangkan filem-filem Melayu dan Tamil. Penonton siap bawa tikar dan bantal untuk ‘booking’ tempat. Memang meriah malam-malam penayangan filem. Saya masih ingat menonton filem Pontianak dengan pakcik saya. Wayang Pacak boleh ditonton dikedua-dua belah layar. Itulah kehebatan penonton di estet ketika itu. Lagi pun percuma.
Perkara yang lain saya ingat sewaktu saya berada di labis adalah ketika berumur lima tahun. Makcik saya yang bongsu bertugas sebagai guru di Labis ketika itu(Kini beliau telah pun melaksanakan Phdnya dalam persuratan Inggeris) ada membuat perkelahan di kawasan pokok-pokok kelapa sawit berhampiran dengan rumah nenek. Banyak acara-acara yang dikendalikan bersama-sama guru-guru dan murid-murid. Sandwich sardin yang dibuat oleh makcik saya masih terasa di lidah hingga kini.
Lawatan saya ke rumah nenek ke Labis terhenti apabila nenek dan adik-berdadik ibu saya berpindah ke Batu Caves sekitar tahun 1974. Masih saya ingat kerusi dan meja dinaikaan ke atas lori. Itulah hari terakhir saya di Labis Johor. Hingga kini saya tidak berkunjung langsung ke situ. Dengar khabar sudah banyak perubahan berlaku. Tidak ada langsung kesan bangunan lama di situ. Labis memang Indah.
Ada cerpen, esei, sajak atau puisi? Sila kongsi bersama kami di [email protected]
Baca yang ini pula:
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.