Lakonan ialah antara aspek penting dalam menghasilkan teater atau filem. Ini kerana lakonan akan menghidupkan karya penulisan daripada hanya sebagai satu bahan bacaan tetapi kini lebih kepada satu persembahan yang ditonton – keindahan dialog juga dapat didengar.
Soalan popular tentang lakonan ialah “Apakah lakonan terbaik?” dan jawapan kepada soalan ini ialah lakonan kamu meyakinkan penonton bahawa kamu ialah watak yang kamu bawakan. Contoh, kalau kamu diberi watak seorang ibu yang hidup sedih kematian suami; kamu mesti menampakkan kesedihan itu dan penonton mesti percaya bahawa kamu ialah watak ibu itu. Ada juga pelakon membawa satu figura popular seperti Freddie Mercury atau Tun Abdul Razak. Kamu sebagai pelakon mesti meyakinkan penonton bahawa kamu ialah watak tersebut.
Motivasi atau faktor penggerak kepada watak juga perlu diberi perhatian. Kenapa sekian-sekian watak membuat sesuatu tindakan? Di sinilah peranan motivasi itu sangat diperlukan. Misalnya, watak A bergerak dari belakang pentas dan kemudiannya mengangkat segelas air kopi dan meminum air kopi tersebut. Kenapa watak itu minum air kopi tersebut? Adakah dia haus? Dia benar-benar sangat haus? Atau minum kopi itu untuk menenangkan suasana yang tegang? Satu tindakan ini boleh membawa pelbagai pilihan motivasi. Ini samalah seperti apabila satu-satu watak itu menangis. Adakah dia menangis sedih kehilangan, menangis tidak dapat tahan amat kecewa atau menangis kegembiraan? Satu aksi menangis itu sudah membawa pelbagai gambaran. Ini hanya dapat diketahui melalui pemahaman mendalam tentang skrip.
Ada dua jenis pelakon. Satu pelakon yang boleh berlakon banyak watak dan membawanya dengan cara yang berbeza atau satu pelakon yang hanya boleh membawa sebahagian watak dengan cemerlang. Kita lihat bagaimana Aamir Khan meyakinkan kita bahawa dia ialah watak makhluk asing atau watak ahli gusti Mahavir Singh Phogat. Permainan lakonan dia bukan sekadar menghafal dan menyampaikan dialog tetapi disertakan dengan persiapan rapi seorang pelakon yang merangkumi pemahaman yang mendalam terhadap watak sehinggakan kita benar-benar percaya bahawa dia ialah seorang ahli gusti yang sudah bersara. Kalau di Malaysia, kita ada S. Kadarisman. Pelakon verstail yang boleh bawa banyak betul watak.
Untuk pelakon yang boleh membawa satu watak dengan cemerlang, mereka juga merupakan pelakon yang bagus. Bukanlah lakonan mereka terhad tetapi, kecemerlangan dia dalam membawa satu jenis watak itu boleh dipuji. Sebab dalam beberapa keadaan watak tersebut hanya dapat dimainkan dengan baik oleh beberapa pelakon sahaja. Kalau beri kepada orang lain, mungkin tidak dapat dilakonkan dengan baik.
Perkara ini berlaku kerana raut wajah, ciri-ciri fizikal, dan cara penyampaian pelakon. Raut wajah yang ganas sering dikaitkan dengan watak yang memerlukan keganasan seperti gangster. Raut wajah yang cantik akan selalu diberikan watak dalam karya romantik. Biasanya kalau rendah, sukar untuk dapat watak penting. Ini kalau pemilihan fizikal menjadi keutamaan.
Lakonan pula ada dua cara penyampaian. Satu dengan presentational dan satu lagi dengan representational. Presentational ini pelakon akan berlakon dan boleh berkomunikasi dengan penonton. Dia macam membuat satu pembentangan. Kalau representational pula ini yang biasa kita tengok. Seolah pelakon tidak tahu ada penonton di hadapan mereka. Mereka akan terus berlakon dan kita sebagai penonton pula seolah dapat melihat mereka tanpa mereka sedar. Ini antara idea asas perbezaan dua cara lakonan ini.
Ada pelakon yang memang sudah sedia ada bakat lakonan dalam diri. Lakonan mereka ini akan diyakini dalam banyak situasi. Dia cakap tentang betapa seramnya rumah banglo kosong, kita boleh percaya. Dia cakap betapa kejamnya bekas kekasih mereka pun kita boleh percaya walaupun berkemungkinan mereka menipu kita. Ada pelakon pula perlu melalui pelbagai latihan lakon untuk menjadi pelakon yang baik. Mereka perlu belajar pelbagai teknik lakon yang sedia ada.
Ada yang berpegang kepada satu kaedah lakonan. Tidak menjadi masalah. Asalkan lakonan anda meyakinkan. Ada banyak kaedah lakon di dunia ini. Teknik dari Stanislavski, Meisner, Chekhov adalah yang agak terkenal. Malah anda boleh gabungkan teknik-teknik yang ada ini. Matlamat teknik ini satu. Untuk membuatkan penonton percaya bahawa apa-apa watak dilakonkan dengan baik.
Kemudiannya kita tengok satu perkara yang menjadikan pelakon itu lebih baik ialah dia selesa di atas pentas. Keselesaan ini mudah disalah erti oleh pelakon muda sebagai bermalas-malasan dalam berlakon. Selesa ini maknanya mental dan fizikal bersedia menjadi watak tersebut. Tidak boleh juga keterlaluan dalam menyampaikan watak sehingga memudaratkan. Ini yang orang katakan sebagai intense acting yang selalu disalah ertikan sebagai “method acting” padahal keduanya tidak berkaitan. Kita sebagai penonton akan rimas melihat pelakon kalau dia keterlaluan dalam menyampaikan emosi. Dia tidak dikawal dengan baik. Dia tidak sedar lagi ruang lakon. Dia juga benar-benar tidak sedar bahawa dia hanya berlakon. Ini yang kadang-kadang kita selalu dapat berita ada pelakon sampai luka-luka akibat adegan berpukulan yang keterlaluan. Asasnya, dalam kebanyaan stail lakonan, pelakon perlu berada dalam keadaan subconscious atau separa sedar. Dia sedar dia sedang berlakon supaya dia tidak memukul rakan lakon sehingga memudaratkan rakan lakon dan dia juga sedar dia sedang menjadi watak itu yang memerlukan dia memukul rakan lakon.
Kalau kita cakap tentang dunia popular dan perniagaan seni hiburan. Pakej wajah yang disukai dan mempunyai ramai pengikut menjadi antara perkara yang diambil perhatian oleh penerbit. Kadang-kadang lakonan mereka terlalulah teruk tetapi disebabkan mereka mempunyai dua perkara ini iaitu wajah yang disukai dan pengikut yang banyak – peluang mereka lebih cerah berbanding pelakon yang jauh lebih baik lakonannya. Tetapi, semua ini bukanlah faktor utama dalam kejayaan kutipan tiket satu filem atau teater. Yang paling penting sudah pasti cara pemasaran yang tepat kepada target penonton yang tepat. Agak sukar untuk penonton awam yang mempunyai kehendak menonton karya ringan untuk menonton filem yang mempunyai kelas dan falsafah seperti Spilt Gravy on Rice. Dia samalah seperti hidangan mewah Spilt Gravy on Rice sukar untuk digapai oleh orang awam biasa yang sudah terbiasa makan nasi putih berlauk di warung-warung biasa. Ini kalau kita cerita tentang pemasaran dan peranan wajah pelakon.
Ada juga keadaan pelakon yang tidak dapat mengeluarkan watak mereka selepas selesai produksi. Di negara barat, mereka boleh bertemu dengan pakar untuk menghilangkan pembawaan watak tersebut dalam dunia sebenar. Ada banyak proses juga dilalui untuk menghilangkan watak ini untuk persediaan mereka berlakon watak lain. Pernah ada keadaan boleh terbawa-bawa sehingga mengganggu rakan lakon lain di set lakonan. Jadi, dalam beberapa keadaan, produksi merasakan bahawa pelakon sebegini keterlaluan dalam menghayati watak dan berkemungkinan boleh mengganggu jadual produksi. Disebabkan oleh itu jugalah kebanyakan pengarah lebih menyukai pelakon yang boleh menukar watak dengan cepat tanpa perlu mengalami proses latihan lakon yang berlebihan. Mereka cuma menjadi watak apabila disuruh berlakon dan kemudiannya berubah menjadi diri mereka sendiri selepas selesai berlakon.
Originaliti akan menjadikan pelakon itu lebih baik. Ada pelakon baru, dia suka meniru cara lakonan pelakon lain. Contohnya, kita beri skrip Tenggelamnya Kapal van der Wijck kepada seorang pelakon. Mereka merasakan mereka perlu buat sama seperti lakonan watak Zainuddin dengan lenggok sebutan dan cara penyampaian yang sama. Ini perlu dielakkan sebab setiap insan di muka bumi ini mempunyai karektor masing-masing yang unik. Originaliti yang perlu dipersembahkan. Kita boleh sahaja menyampaikan skrip kekecewaan Zainuddin dengan cara tersendiri. Ini lebih menarik daripada meniru sepenuhnya.
Ada keadaan di mana pelakon merasakan dengan membawa watak sedih dan dapat mengeluarkan air mata sewaktu berlakon mereka itulah pelakon yang baik. Ada juga yang merasakan bahawa kalau mereka melakonkan watak emosi terganggu atau watak yang psikopat mereka telah berjaya membawa lakonan yang hebat. Kedua-dua ini ya diakui bukanlah mudah untuk dibuat malah memerlukan banyak latihan dan teknik yang betul. Tetapi, pemahanan sebegini perlu dilihat semula kerana lakonan yang baik bukanlah sekadar boleh membawa kedua-dua watak dan situasi ini. Tetapi, lakonan yang baik matlamatnya ialah untuk meyakinkan penonton bahawa ialah watak yang kamu bawa. Sama seperti orang melihat betapa ikoniknya Forrest Gump oleh Tom Hanks atau Jack Sparrow oleh Johnny Depp. Mereka meyakinkan bahawa mereka berdualah watak tersebut.
Pelakon perlulah seorang yang sangat bijak sebab mereka perlu memahami dan mendalami skrip. Mereka juga perlu memberi pemberat kepada emosi dan peribadi watak. Inilah yang sangat sukar dibuat oleh pelakon yang masih baru berlakon sebab kajian watak perlu dibuat dengan sangat mendalam. Untuk membawa watak dengan baik juga sangat perlu untuk memberi perhatian kepada aksi dan reaksi. Apakah aksi yang dibuat oleh satu – satu watak dan bagaimana reaksi rakan lakon terhadap aksi watak tersebut? Ini bukan sekadar reaksi biasa tetapi melibatkan banyak perkara antaranya hubungan antara watak, status sosial, dan juga pandangan watak terhadap situasi. Mereka juga perlu menjadi pemudahcara kepada pengarah. Setiap tindakan pelakon perlulah mempunyai sebab. Misalnya, dia mahu bergerak dari kiri ke kanan pentas perlu ada sebab yang jelas akan pergerakan ini dan bukanlah hanya sekadar memenuhi arahan pengarah. Penting untuk mereka mendalami skrip kerana mereka inilah yang akan menghidupkan setiap kata bual yang tertulis.
“Devised Theatre”, Alasan Bermalasan Dan Penyakit Pengkarya
Guru Sementara oleh M. Mahendran
Sumber gambar dari Instant Cafe Theatre / Facebook. Ini adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi Eksentrika.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.